Kemalangan Ski Yang Melibatkan Seorang Pelajar Malaysia di Perancis

Home / Uncategorized / Kemalangan Ski Yang Melibatkan Seorang Pelajar Malaysia di Perancis

Seluruh komuniti pelajar Malaysia yang berjumlah 700 orang di Perancis telah dikejutkan dengan kehilangan seorang rakan seperjuangan akibat kemalangan ski di La Foux d’Allos (sektor Le Seignus) sebuah stesyen ski yang terletak tidak jauh dari Nice, Perancis. Arwah Affiah Binti Ariffin Hew, pelajar penuntut persendirian dalam jurusan ekonomi tahun ketiga di Université de Nantes, telah mengikuti rombongan ski yang dianjurkan oleh universitinya. Difahamkan, beliau hilang kawalan terhadap papan skinya dan terjatuh lalu menyebabkan kecederaan serius di kepala setelah terhantuk pada ketulan ais.

Kemalangan ini telah dilaporkan oleh salah seorang petugas stesen trek yang berada dekat dengan tempat kejadian pada pukul 12.40 tengahari waktu tempatan Perancis pada hari Jumaat, 22 Januari 2016. Mengalami kecederaan kepala yang serius (cranial trauma), beliau telah dipindahkan oleh High Mountain Gendarmerie Platoon (PGHM) Jausiers dengan helikopter ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Centre Hospitalier Universitaire Pasteur, Nice untuk dirawat. Sejurus mendapat berita ini, ibu bapa arwah berlepas dari Malaysia pada Sabtu petang untuk melihat keadaan anak mereka. Ketika ini, Saudari Affiah berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri. Ibu bapa mangsa tiba di Nice pada Ahad pagi dan diiringi ke hospital oleh saudara Abdul Aziz Asmuni, pelajar di Nice yang juga merupakan kenalan keluarga, bersama rakan beliau Ihsan Amin. Beberapa jam selepas ketibaan mereka, mereka diduga dengan berita buruk apabila saudari Affiah disahkan meninggal dunia pada pukul 5.00 petang waktu tempatan (12 malam Ahad waktu Malaysia). Urusan dokumentasi untuk membawa pulang jenazah dibantu oleh pihak kedutaan Malaysia juga turut dibimbing oleh keluarga kawan karib Perancis arwah.

Saya sebagai wakil Persatuan Pelajar Malaysia di Perancis (MASAF) ingin meluahkan rasa dukacita, hiba dan pilu atas tragedi yang berlaku seterusnya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa, diharap tabah menghadapi kehilangan insan tercinta. Meskipun ramai antara kami tidak sempat mengenali arwah, ramai juga yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang periang dan berbudi bahasa. “Strong-willed and determined, an example of the hardworking, kind-hearted person” adalah antara sifat-sifat yang diperkatakan oleh kenalan-kenalan beliau. Oleh itu, kami berdoa agar kejadian seperti ini tidak lagi berlaku di masa akan datang.

Di kesempatan ini, kami ingin menyampaikan tips para pemain ski/snowboard untuk mengelakkan berlaku kemalangan atau kecederaan serius:
1) Pastikan anda benar-benar bersedia dalam memilih trek yang anda akan turuni. Kenalpasti kemampuan dan teknik anda.
2) Kenakan peralatan yang sesuai (helmet terutamanya, bagi melindungi bahagian kepala). Anda mungkin tidak tahu yang pemain ski dan snowboard professional juga mengenakan peralatan keselamatan di sebalik baju mereka. Tidak salah jika anda berbelanja untuk mendapatkan peralatan yang sesuai demi menjaga keselamatan.
3) Elakkan bermain bersendirian terutamanya jika anda baru pertama kali bermain atau bermain di stesen ski yang tidak pernah anda kunjungi sebelum ini.
4) Sentiasa memberi perhatian pada keadaan cuaca (kelajuan angin, suhu, bersalji, berkabus, risiko runtuhan salji) dan keadaan trek (salji tebal, salji baru turun). Buat sedikit kajian tentang persediaan yang perlu dilakukan jika anda ingin bermain di dalam kondisi tertentu.
5) Dapatkan bimbingan dan pengawasan daripada seorang guru ski professional jika ini adalah kali pertama anda bermain ski/snowboard.
(Tips oleh Farhan Ibrahim)
Akhir kata, sentiasalah utamakan keselamatan walau di mana jua anda berada. Salam takziah sekali lagi buat keluarga Affiah Ariffin Hew. Kami doakan agar arwah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Semoga urusan membawa balik jenazah dipermudahkan oleh-Nya.

 

Yang melaksanakan tugas,
Arief Mirkhael Nazli
Naib Presiden I
MASAF 2015/16

Sumber:

  1. http://www.ledauphine.com/haute-provence/2016/01/22/une-skieuse-chute-et-se-blesse-gravement
  2. http://www.ledauphine.com/haute-provence/2016/01/25/la-foux-d-allos-la-skieuse-malaisienne-est-decedee
  3. Saudara Aziz Asmuni, pelajar di Nice yang mengikuti perkembangan arwah di hospital dan yang mengiringi ibu bapanya sepanjang mereka di Perancis.

Leave a Reply