ALC

Annual (Avengers) Leadership Camp (ALC) merupakan nama yang diberikan kepada kem kepimpinan yang dianjurkan oleh MASAF buat julung kalinya. Program yang berlangsung dari 24 Oktober hingga 26 Oktober di Isis en Cévennes, Montpellier ini melihatkan penyertaan 42 orang pelajar Malaysia dari pelbagai bandar di Perancis. Objektif utama kem kepimpinan ini adalah untuk memupuk potensi kepimpinan dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli MASAF. Tema Avengers dipilih untuk program ini kerana ahli-ahli MASAF diibaratkan sebagai pasukan Avengers yang mampu menggunakan perbezaan sesama ahli untuk mencapai sesuatu matlamat. Para peserta kem dibahagikan kepada 4 kumpulan: Ironman, Captain Malaysia, Thor, dan Black Widow bagi menjalankan aktiviti kem yang mencabar kekuatan fizikal dan mental.

IMG_5077

Para peserta telah melalui pelbagai aktiviti sepanjang waktu program, seperti ‘Jungle Trekking’ yang bertujuan menguji ketahanan fizikal dan mental serta memupuk kerjasama antara ahli kumpulan. Antara aktiviti yang paling menarik ialah ‘Iron Chef’, yang mana setiap kumpulan hendaklah menggunakan kreativiti dan kebolehan masing-masing untuk menghasilkan masakan yang terbaik dari segi rasa dan juga persembahannya. Kreativiti dan kerjasama para peserta turut diserlahkan dalam aktiviti ‘ALC Night’. Setiap kumpulan telah menyampaikan persembahan menurut 5 perkataan tema yang diberikan. Di samping itu, aktiviti ‘Circle of Friendship’ turut dijalankan untuk bersuai kenal dengan lebih rapat serta bertukar pendapat, sambil mengelilingi unggun api di keheningan malam. Pelbagai latihan dalam kumpulan juga dijalankan bagi melatih sifat kepimpinan dan berorganisasi.

_MG_8833

Sebagai kesimpulan, ALC anjuran MASAF yang berlangsung selama 3 hari 2 malam berjaya memenuhi dan merealisasikan objektif program yang digariskan walaupun pihak penganjur dan para peserta ditempuhi dengan cabaran yang berturut-turut terutamanya kemelut pengangkutan awam ke destinasi kem. Namun, semangat para ahli MASAF yang membara dan tabah mengatasi masalah telah menunjukkan bahawa kem kepimpinan MASAF kali pertama dijayakan dengan sebaik mungkin. Ucapan terima kasih dari pihak MASAF kepada semua yang hadir memberikan sokongan. Semoga para peserta dapat mengambil pengajaran daripada kem ini dan terus berusaha untuk membina jati diri supaya menjadi seorang pemimpin yang berwawasan satu hari nanti.

_MG_8915

Disediakan oleh,

Joycelyn Hai

Journalist

Bureau Editorial & Information