MASAF Games merupakan sebuah program tahunan berasaskan aktiviti sukan, budaya dan rekreasi yang dianjurkan untuk para pelajar Malaysia di Eropah, khususnya di negara Perancis. Edisi MASAF Games tahun 2014 yang bertempat di Complexe Sportif de la Doua, Lyon telah berlangsung selama 2 hari , dari 26 sehingga 27 haribulan April. Temasya sukan yang  bertemakan Victory Through Unity ini telah melihat penyertaan daripada 300 orang rakyat Malaysia yang merangkumi golongan pelajar seta profesional dari Perancis dan Jerman. Ia dilengkapkan lagi dengan kehadiran Duta Malaysia di Perancis, Tan Sri Ismail Omar serta pegawai-pegawai JPA di Perancis.

Para sukarelawan telah berkumpul seawal 7.45 pagi bagi melakukan persiapan sebelum sesi pendaftaran peserta. Pada jam 10.15 pagi, upacara pembukaan dilaksanakan oleh saudara Arif Daniel, diiringi dengan bacaan doa oleh saudara Ikhwan Yusof. Selepas nyanyian lagu kebangsaan Malaysia, presiden MASAF, saudara Cyril Janting memberikan ucapan pembukaan.

Antara sukan yang dipertandingkan pada hari yang pertama termasuklah sukan badminton, ping-pong, bola sepak, tennis, dan boling. Pada hari kedua temasya sukan MASAF Games, acara ragbi dipertandingkan buat julung-juling kalinya dalam sejarah perlaksanaan temasya sukan ini. Acara bola tampar, bola jaring dan Frisbee Ultimate, serta acara-acara yang bercorak tradisional seperti congkak dan teng-teng juga telah berlangsung pada hari kedua.  Tidak dilupakan juga perlawanan separuh akhir dan akhir bola sepak yang telah dipertandingkan pada jam 1.30 tengahari, disaksikan oleh Tan Sri Ismail Omar dan Encik Shahir, pegawai JPA.

Upacara penutup dan penyampaian hadiah telah dimulakan pada jam 4.30 petang, diikuti oleh sesi bergambar bersama semua peserta temasya MASAF Games. Dengan kerjasama erat yang diberikan oleh pihak penganjur, sukarelawan serta para peserta sendiri, MASAF Games telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam perlaksanaan program MASAF Games pada tahun ini.

Official Website : http://Games.Masafrance.org

Leave a Reply