Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Alhamdulillah, pada tanggal 16 September 2015 ini HARI MALAYSIA disambut untuk ke-6 kali setelah diiktiraf sepenuhnya pada tahun 2010. Seperti yang kita tahu, tarikh ini amatlah penting bagi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia, di mana Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bersatu membentuk negara kita.

Bercerita tentang Journée Sans Faim (Hari Tanpa Lapar) pada 12 September pula, aktiviti ini mengingatkan saya semula pada kali pertama saya menyertainya di Aix-en-Provence pada bulan Disember 2013. Pada waktu itu, program tersebut tidak dianjurkan oleh MASAF dan hanya dicadangkan di Aix. Walaupun diadakan secara spontan dan bermula pada awal pagi Ahad, hampir semua pelajar Malaysia di Aix, tidak kira bangsa atau agama, junior atau senior, terus bergegas bangun dan berkumpul untuk satu objektif iaitu membantu orang yang susah dalam komuniti sekitar kami. Makanan disiapkan dengan cepat dan kami terus bergerak ke bandar untuk mengedarkan makanan kepada gelandangan.

Dan pada tahun berikutnya, 2014, program ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, dengan penglibatan dari bandar Lyon, Grenoble, Besançon, Toulouse, Orléans, Toulon dan Saint Nazaire. Buat kali pertama, program ini diadakan serentak di seluruh pelusuk Perancis dan dijayakan oleh pelajar Malaysia di komuniti masing-masing.

2015 adalah tahun kedua bagi MASAF melaksanakan Journée Sans Faim, dan dari tahun ke tahun, saya melihat peningkatan dari segi penglibatan, pengurusan, kreativiti dan keprihatinan pelajar-pelajar terhadap orang gelandangan. Dari 1 bandar pada tahun 2013 ke 8 bandar pada tahun 2014 dan 10 bandar pada tahun ini, dengan penyertaan baru dari bandar Nice dan Tours.

Sejujurnya, saya tidak lagi melihat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan tetapi hanya sekumpulan rakyat Malaysia yang berganding bahu seterusnya menggembleng tenaga untuk satu tujuan yang sama, dan percayalah, orang Perancis juga mempunyai sudut pandangan yang sama. Bagi para gelandangan yang kita temui tempoh hari, peristiwa tersebut adalah sesuatu yang menggembirakan mereka. “Les Malaisiens me donnent quelques choses à manger, les français non!’, kedengaran seorang pak cik dari Aix berkata-kata, tersenyum kegembiraan apabila menerima makanan daripada pelajar kita. Anda digalakkan untuk berkongsi pengalaman anda memberi makanan kepada gelandangan bersama kami.

Akhir kata, kita mungkin mempunyai banyak perbezaan, tapi apabila wujud perkara yang menyatukan kita; saya sarankan kita rebut peluang tersebut, pegang teguh kepadanya dan seterusnya perbaiki kelemahan yang sedia ada. Satu contoh yang sangat ketara adalah program ini. Oleh yang demikian, saya dengan rendah diri ingin memberi setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sukarelawan Hari Tanpa Lapar atas sokongan anda dan saya berharap agar program ini dapat diabadikan sebagai acara tahunan yang akan berterusan selama-lamanya.

Tahniah kepada semua kerana telah membuktikan bahawa #sehatisejiwa itu bukan sekadar slogan.

Selamat Hari Malaysia.

Yang melaksanakan tugas, Arief Mirkhael NAZLI Vice President I MASAF 2015/16

LIKE Page kami : https://www.facebook.com/masafrance Follow kami di: MASAF Instagram: http://instagram.com/masafrance MASAF Youtube: http://www.youtube.com/user/MasafTubeMASAF Flickr: http://www.flickr.com/photos/masafgallery/

Leave a Reply