Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Kami, Arief Mirkhael Nazli, Naib Presiden I Persatuan Pelajar Malaysia di Perancis (MASAF) dan Khalida Azudin, Setiausaha MASAF menjawab segala persoalan tentang serangan terhadap Paris pada malam Jumaat, 13 November 2015.

Pray for Paris

 

  • Apa sebenarnya yang telah berlaku di Paris?

Seperti apa yang dipaparkan pada kaca televisyen, kota Paris sekali lagi digemparkan dengan serangan pengganas yang mendapat perhatian daripada seluruh pelusuk dunia. Tragedi berdarah kali ini berlaku pada malam Jumaat, 13 November 2015, dengan angka kematian yang mencecah 132 orang dan 350 lagi cedera. Ini merupakan kejadian yang kedua seumpamanya di Paris tahun ini, selepas kejadian Penembakan Charlie Hebdo pada 7 Januari 2015, dimana 11 orang penulis akhbar mingguan Charlie Hebdo maut di tangan pengganas.

Pada malam 13 November tersebut, kejadian letupan  bom telah berlaku semasa perlawanan persahabatan bolasepak antara Perancis dan Jerman di Stade de France. Semasa perlawanan itu sendiri, kedengaran bunyi letupan dari luar stadium yang kami sangkakan bunyi mercun pada awal perlawanan.  Letupan tersebut merupakan yang pertama daripada empat letupan yang berlaku di Paris malam itu.

  • Letupan pertama: Pihak stadium berjaya menghalang seorang pengebom berani mati daripada masuk ke stadium. Bom tersebut diletupkan di luar stadium. Pihak berkuasa mengambil keputusan bijak untuk tidak mengumumkannya dengan harapan untuk tidak mencetus panik dalam kalangan 80, 000 penonton. Presiden Hollande yang berada di dalam stadium dipindah keluar.
  • Letupan kedua: Berdekatan Stade de France.
  • Letupan ketiga: Berdekatan McDonald’s tidak jauh dari Stade de France.
  • Letupan keempat: pelaku sempat duduk di dalam Comptoir Voltaire Café, Boulevard Voltaire sebelum meledakkan bahan letupan.

Setelah tamat perlawanan, para pemain bolasepak dan penyokong dikuarantin di dalam stadium kerana dikhuatiri menjadi mangsa pengganas. Pada malam yang sama, serangan pengganas ini disusuli dengan penembakan di restoran-restoran dan gerai kopi dan bar, antaranya: Le Carillon, Le Petit Cambodge (restoran Kemboja),  dan penahanan tebusan di dewan konsert Bataclan, di mana sedang berlangsungnya konsert rock yang dihadiri 1500 orang. Berlaku pembunuhan beramai-ramai iaitu sebanyak 87 orang, maut di dewan konsert tersebut. Pada malam itu, penduduk Paris memberi tempat teduh kepada mereka yang ketakutan dan trauma melalui hashtag #PortesOuvertes atau #OpenDoors. Presiden Perancis, Francois Hollande telah mengisytihar darurat dan menutup sempadan Perancis untuk menangkap si pelaku berikutan angka kematian yang amat mengejutkan. Ramai menyifatkan bahawa serangan-serangan ini telah dirancang secara rapi sebelum dilancarkan.

 

  • Terdapat berapa orang pelajar Malaysia yang tinggal di Paris dan di seluruh Perancis? Adakah terdapat pelajar Malaysia yang maut/cedera ketika kejadian ini?

Seramai lebih 700 orang pelajar Malaysia sedang menuntut ilmu di seluruh Perancis. Majoriti dari mereka tidak tinggal di Paris. Di Paris hanya terdapat kurang 20 orang pelajar Malaysia dan alhamdulillah, tiada yang terlibat secara langsung dalam tragedi ini.

 

  • Bagaimanakah kehidupan pelajar-pelajar Malaysia dan rakyat Perancis selepas kejadian ini? Adakah aktiviti MASAF yakni Weekend of Lights (WoLF) di Grenoble terjejas akibat kejadian ini?

Hanya sehari selepas kejadian tersebut, kami melihat kehidupan berjalan seperti biasa, dan situasi sekarang tidaklah sepanik yang di dibesar-besarkan di media sosial. Walaupun ramai yang lebih memilih untuk duduk di rumah, terdapat ramai juga penduduk Paris yang meneruskan aktiviti harian mereka seperti ke kedai roti untuk membeli baguette/croissant dan minum teh, membawa anjing mereka bersiar-siar di taman, dan berehat-rehat depan Eiffel Tower. Hashtag #prayforparis telah viral pada malam tersebut dan #memepaspeur atau #notafraid pada hari seterusnya untuk menyeru mereka bangkit menentang segala bentuk keganasan. Sekolah dan universiti juga dibuka seperti biasa pada hari Isnin, 3 hari selepas kejadian. Kebanyakan institusi ini melaksanakan ‘a moment of silence’ bagi mengingati mangsa-mangsa kejadian tersebut. Terdapat juga universiti di sekitar Paris yang melakukan kawalan keselamatan secara ketat di mana para pelajar dikehendaki menunjukkan ID dan beg dan barangan mereka diperiksa sebelum memasuki kawasan universiti. Mereka perlu beratur dan melepasi pos sekuriti. Pintu masuk universiti juga  dikurangkan untuk keselamatan para pelajar. Berbeza dengan universiti awam di Malaysia dimana rata-ratanya di jaga oleh pengawal keselamatan dan polis, di Perancis, kawalan tidak begitu ketat. Sebelum ini, sesiapa sahaja boleh masuk ke kawasan universiti sesuka hati tanpa kawalan atau mungkin ada sesetengah universiti dikawal hanya dengan akses kad pelajar. Sejak kejadian pengeboman dan penembakan yang berlaku di Paris, pihak universiti, sekolah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara yang sama berulang. 

Line to enter university

Untuk aktiviti MASAF pula iaitu Weekend of Lights (WoLF), dijadualkan untuk diadakan di Grenoble (600 km dari Paris). Pada mulanya kami agak skeptikal untuk meneruskan aktiviti ini berikutan pengisytiharan darurat terutamanya untuk acara pertama kami iaitu Buku Jalanan France (aktiviti berkongsi buku dan ilmu) yang memerlukan pelajar-pelajar untuk berkumpul ramai-ramai di kawasan awam. Walaubagaimanapun, setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa iaitu Police Municipale di Grenoble, semua ahli jawatankuasa mengambil keputusan untuk meneruskan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang WoLF iaitu: Buku Jalanan France, War of Lights (LaserTag) dan Diwali Buffet Luncheon. Akibat daripada tragedi ini, terdapat juga beberapa pelajar kami yang tidak dapat hadir ke program kami atas nasihat ibu bapa yang risau tentang keselamatan mereka, kebanyakannya dinasihati untuk tidak keluar rumah hingga situasi kembali normal.

 

  • Apakah pendapat anda tentang serangan ini?

Kami menyifatkan pelaku-pelaku serangan ini sebagai orang yang tidak berhati perut dan kejam. Berdasarkan daripada kisah-kisah yang diceritakan oleh mangsa-mangsa yang nyaris maut ditembak, mereka menembak seorang demi seorang tebusan di hadapan mata mereka sendiri. Perkara ini mampu mendatangkan fobia sepanjang hayat bagi tebusan yang menyaksikan tembakan itu sendiri. Walaupun pihak penguasa Perancis mengesahkan mereka sebagai golongan ekstrimis Islam, bagi kami, pengganas-pengganas ini tidak tergolong dalam mana-mana agama, kerana terorisme merupakan satu entiti yang tidak mempunyai agama, dan membunuh tidak kira agama.

 

  • Nasihat anda kepada pelajar-pelajar Malaysia di Perancis?

Para pelajar dinasihatkan untuk berhati-hati ketika keluar dari rumah. Jika boleh, keluar dengan kawan-kawan dan jangan berseorangan. Untuk para pelajar perempuan yang bertudung terutamanya, pastikan anda tidak keluar berseorangan. Banyakkan berdoa sebelum keluar rumah agar perjalanan anda selamat. Anda digalakkan menggunakan app Companion untuk meminta rakan anda menemani perjalanan anda agar anda selamat sampai ke rumah. App tersebut akan menghubungi pihak berkuasa sekiranya anda tidak memberi respon dalam beberapa saat dan mengesan posisi terakhir anda.

Pelajar juga diingatkan untuk sentiasa berhubung dengan keluarga masing-masing untuk mengurangkan kerisauan mereka terhadap anda.

Anda juga bolehlah berhubung dengan pihak kedutaan jika anda ingin mendapatkan maklumat yang tepat dan terperinci atau jika berlaku sebarang kecemasan, anda boleh hubungi Kedutaan Malaysia di Paris melalui nombor ini +331 45 53 11 85 atau +336 32 60 61 84.

Anda juga diingatkan untuk tidak menyertai sebarang aktiviti dari kumpulan ekstrimis ini.

Akhir sekali, anda tidak digalakkan untuk menyertai mana-mana acara yang melibatkan ramai orang sehingga situasi stabil dan elakkan dari provokasi.

 

Yang melaksanakan tugas,

Arief Mirkhael Nazli & Khalida Azudin

Naib Presiden I dan Setiausaha

MASAF 2015/16

 

Sumber:

  1. http://www.ngtrends.com/2015/11/death-toll-from-paris-attack-rises-to-132/
  2. http://www.smh.com.au/world/paris-attacks-how-the-death-toll-could-have-been-much-higher-20151116-gl04fh.html
  3. http://www.wsj.com/articles/attacker-tried-to-enter-paris-stadium-but-was-turned-away-1447520571
  4. https://en.wikipedia.org/wiki/November_2015_Paris_attacks
  5. http://www.nbcnews.com/storyline/paris-terror-attacks/porteouverte-paris-residents-open-doors-those-stranded-attacks-n463371
  6. http://www.bbc.com/news/world-europe-30708237
  7. http://www.ibtimes.co.uk/companion-tens-thousands-using-safety-app-that-lets-friends-digitally-walk-you-home-night-1518197