
Budak kecil itu
Aku dekati
Aku amati
Bahu dia aku pegang lembut
Pipi dia aku sentuh perlahan
Kepalanya dahaga usapan
Seakan dunia sedang menunjukkan
bahagiannya yang sungguh halus
Budak kecil itu
Aku pimpin tangannya
Lantas dia bertanya
“Kita mahu ke mana?”
Sini, aku tunjukkan dunia sebenar
Dunia tanpa ada orang tuamu
Yang menapis bahaya hidup
Anak matanya tepat aku pandang
Raut wajahnya bersih,
Aku tatap penuh hiba
Air jernih laju aku seka
Dia, ialah aku.
Dari anak matanya, aku lihat aku.
Yang masih bermain-main
Yang bebas dari runsing
Yang menumpang kasih ibu ayah
Ingin sekali aku beritakan padanya
Khabar bumi di kemudian hari
Di saat dia dewasa
Cukup besar untuk memahami
Bahawa dunia ini tak seindah yang dia harapkan
Dunia ini,
Sentiasa ada alasan untuk menyakiti hati yang berperasaan
Budak kecil itu
Lincah berlari membelah angin
Seolah tiada yang merunsingkan hati
Ingin sekali aku berpesan
Kelak membesar jangan cepat memberi hatimu pada insan
Kelak yang kau dapat hanya kesakitan
Manusia durjana yang disanjung itu
bersembunyi di balik kemeja dan kasut kulit
Kata-kata mereka mempesona
Manifestasi seolah tiada cela
Dijunjung, disanjung hebat
Walau terang bangkai gajah
Walau bersuluh penuh noda
Pada lensa netra mereka
Rupanya buta dengan harta dan pangkat semata
Manusia iri pula sentiasa mencari jalan
Menjatuhkan kaki yang sedang belajar berdiri
Hatinya enggan memberi puji
Bahkan amarah menguasai diri
“Karut, tiada makhluk hidup mahu menganiaya yang lain”
Kata-katanya buat aku bungkam seribu bahasa
Bukanlah salahnya melihat dunia dengan mata suci itu
Namun malangnya bumi dicemar tangan-tangan hina yang mencipta dosa baru
Bumi jadi ruang perang
Bukan lagi tempat riang
Andai satu hari nanti
Dia mampu menelan realiti
Pasti dia fahami
Nilai kecil duniawi
Tiap saat, ada kepala yang dipancung,
Ada tangan yang ditoreh, ada pisau yang membelah luka
Rangkaian perhubungan yang terlihat gah
Ternyata terselit agenda pemerintah
Media sosial?
Cara baru melukai manusia tanpa tumpahnya darah
Khabar palsu?
Laju dikongsi tanpa teliti
Memecah belah pertalian darah
Membahagi manusia mengikut ‘kasta’
Bukit-bukau ditarah
Rata dek haloba sang peniaga
Pejuang kekayaan makin kaya
Pejuang nasib hidup makin meranaHasil hutan ditukar dengan ringgit
Andai angka itu mampu ditukar dengan nilai kemanusiaan
Budak kecil itu
Riang benar tawanya
Aku dekati lalu rambutnya lembut aku elus
Senyumnya tak pudar
Alangkah indah pemandangan
Wahai sang periang kecil
Andai kamu tahu dunia sudah tak indah lagi
Tangan-tangan kotor telah cemari
Kasih sayang tak mampu menguasai
Hati yang diikat ketamakan tanpa simpati
Golongan fakir meningkat dinihari
Dunia, sudah tidak indah lagi
Kendatipun begitu
Bumi tetap dengan putarannya
Gunung tetap dengan pasaknya
Awan dan bintang
Tetap silih berganti
Dan kamu, tetaplah dengan baktimu
Kerana sesungguhnya
Pada akhir kalam
Dunia hanya tinggal cerita
Jadi kamu, bangunlah dari lena dunia
Bangkit berjuang dengan kudratmu
Kuat selalu, sang pahlawan
Aku titipkan
Budak kecil itu
Buat kamu yang membaca
