Skip to content

Setulus ilmu, selusuh rembengan

Facebook
Twitter
Email
LinkedIn

16 Mei 2023

Tiada lagi nyanyian “Kami Guru Malaysia”

Namun hanya alunan bacaan al-Fatihah, Yasin dan tahlil yang bergema.


Seusai mandi dan bersiap ke Surau Abd Jabbar untuk memulakan hari yang baru, aku dikejutkan dengan pesanan ringkas yang diterima dari kakakku.

“Cikgu Azizah meninggal dunia di Hospital Muar pukul 10.30 malam tadi. Inshallah jenazah akan disempurnakan di hospital dan akan disemadikan pada pagi esok”.

Itulah mesej yang masuk ke inbox aku pada jam 11.30  malam. 

Terhenti seketika langkahku ke arah lawang rumah. Kenangan menerawang kembali ke terowong usia 10 tahun; darjah 4 Sekolah Kebangsaan Air Hitam Batu 15 Muar. 

Keluargaku bukanlah orang senang. Makan pakai seadanya sahaja. Pun begitu semua keperluan sebagai seorang anak dan murid sekolah sentiasa dipenuhi oleh emak dan abah, walau tidak disediakan dengan pakaian mewah tetapi tetap ada. Pakaian basahan kami biasanya ‘rombengan’; baju-baju bundle (istilah sekarang), atau pakaian bekas kalau di Indonesia. Tetapi aku tetap bangga kerana aku masih punya baju untuk dipakai sama ada ke sekolah ataupun bermain. Tidak sedikit kawan-kawan sepermainan aku menyindir daku yang terkadang tidak berbaju dan berkaki ayam sepanjang hari. 

Pakaian sekolah rendah aku tidak digosok. Mungkin tahun-tahun 70-an dan zaman belum ada elektrik pakaian anak sekolah memang tidak bergosok. Paling “canggih” pun berlipat di bawah susunan batu-bata ala-ala cerita P Ramlee. Bersekolah dengan berseluar pendek dan berbaju putih yang kusam. Bolehlah dikategori “baju putih tetapi berbelang kuning kerana dibasuh dengan air tempayan sahaja”.

Seingat aku ketika itu musim hujan. Pakaian sekolah yang emak jemur di ampaian tidak sempat kering. Untuk memastikan si anak dapat bersekolah seperti biasa, abah telah memasang lampu gas untuk menerangi malam selain untuk “menjemur” pakaian aku dan kakak. 

Kerana kedudukan lampu gas itu sedia tinggi, kami hampir melupakan situasi baju yang “dipanggang” itu. Tiba-tiba… bau hangit menjamu rongga hidung dan tanpa kami sedari, baju sekolah aku sudah rentung dijilat api. Riuh rendah abah dan emak menyelamatkan “baju nan sehelai” itu. 

Esoknya aku ke sekolah dengan memakai baju biasa sahaja. Pagi itu sewaktu Kelas Agama cikgu bertanya ke mana uniform aku. Ujarku uniform terbakar. Aku katakan juga “Emak cakap hujung minggu nanti emak belikan uniform baru selepas menjual getah keping ke Wak Sapari”. Dari ekor mata, aku lihat cikgu menyika lengan bajunya. Nampak ada titisan air mata mengalir di pipi cikgu.

Keesokannya aku masih berpakaian biasa ke sekolah. Aku buangkan perasaan malu untuk tetap hadir, meski terkadang mendapat pandangan hairan dari orang sekeliling. Kemudian ketua darjah memanggil aku ke bilik guru. Cikgu Azizah menyerahkan uniform terpakai milik anaknya. Seluar pendek biru yang agak besar dari saiz aku. Dia menyuruh aku memakainya. 

Itulah kenangan dan hadiah dari Cikgu Azizah kepada anak kampung yang serba susah di dalam menuntut ilmu. Anak orang kampung. Aku rasakan itulah hadiah paling bernilai pernah aku terima daripada seorang cikgu sepanjang kehidupan aku. 

Semalam pada jam 10.30 malam 15 Mei 2023 Cikgu Azizah telah meninggal dunia. Inshallah jenazahnya akan dikebumikan pada 16 Mei iaitu Hari Guru. Hari profesion dia diraikan. Memang jasa cikgu nan seorang ini sangat besar. Menjadikan aku sebagaimana aku pada hari ini. 

Aku orang pertama sampai ke rumah almarhumah. Belum ada penziarah lain. Jenazah pun masih di Hospital Muar lagi. Justeru aku mengirimkan salam takziah kepada cucunya lantaran aku ke pejabat. 

“Selamat jalan, Cikgu Hajah Azizah.”


Air mata yang berjujuran pantas diseka. Hantaran ini dimuat naik di laman sosial seorang kenalan, sebuah coretan ringkas melambangkan bukti zahir pengorbanan seorang pendidik, dinukilkan oleh bekas muridnya. 

Pernah juga ku dengar kisah ini, tetapi diceritakan dari sisi yang lain. Sepasang kain yang terlihat usang menjadi suatu harta tak ternilai buat sesusuk tubuh di luar sana. Tergelak kecil aku tatkala mengingati raut wajah ayah; siapa lagi kalau bukan empunya asal seluar pendek ‘geleber’ itu. 

Begitulah jasa seorang guru, sejauh langkahnya menjangkau, tidak kian pudar meski di luar bilik darjah. Kasih, setulus ilmu yang diajari, menjadi amalan yang diguna pakai hingga ke hari ini. Dan kesantunan budi, seusang mana pun pakaian lusuh si anak, pada hematnya masih miliki nuansa menanam benih harapan dalam tubuh kecil yang lain. 

Bulan ini, genap tiga tahun nenek menghembuskan nafas terakhirnya di dunia ini. Tanggal keramat, 16 Mei, dunia kehilangan seorang mutiara berjiwa luhur, seorang insan bersuara lantang, namun dalam teguran tegasnya tercalit siratan penuh kelembutan. Saat seluruh negara meraikan para pendidik di dataran sekolah, aku meratapi pemergian guru pertama dalam hidupku. Walau tubuhnya kini terbujur layu di pusara, aku pasti cahaya nurani dalam dirinya akan terus menyinari jiwa lain yang masih bernyawa.

Selamat hari guru ku ucapkan, buat semua insan yang bergelar “Cikgu”, “Ustaz/ah”, “Mualim/ah”, “Coach” dan seangkatan dengannya. Cerpen ini ku hadiahkan khas buatmu, Hajah Azizah binti Md Amin, nenek yang ku kasihi, yang tanpa sedar, sering ku marah, ku ingkar. Hakikat seorang cucu tak mengenang budi, yang amarah senipis imannya. Acap kali ku lupa, nenek juga hanyalah seorang manusia, yang punya perasaan dan hati; hati yang kini tidak lagi memainkan melodi.

Al-Fatihah ku hadiahkan buatmu, Atuk Zizah. Kehilanganmu masih terkesan hingga ke hari ini. 

Nukilan asal: Alimi Mahmood

Adaptasi: Auni Hayani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.