Skip to content
Facebook
Twitter
Email
LinkedIn

Malam ini sunyi sepi. Tiada suara yang menemani diriku, selain daripada kicauan unggas yang bernyanyi-nyanyi di sebalik kegelapan malam ini. Alangkah indahnya sekiranya setiap malam kesepian ini dapat dikecapi sehingga fajar menyinsing, namun aku tahu bahawa keheningan ini tidak berkekalan. Kelak, apabila tiba suatu titik masa, suara-suara yang tiap malam menghantui diri aku akan mula ingar. Lekas-lekas aku mula memainkan dendangan-dendangan penyanyi Barat terkemuka, dengan harapan bunyi-bunyi tidak indah yang bakal muncul dapat ditenggelami. Namun, apakan daya, walaupun dengan kelantangan yang tertinggi, suara-suara dalam kepalaku kekal lantang dan hingar bunyinya. “Majnun,” “Gila,” “Tiada guna,” suara yang acapkali meneriak dalam gelapnya ruang fikiran ku.

Kehidupan di negara asing, ribuan batu dari tanah tumpahnya darahku, membawa beban yang tak terduga. Orang mungkin kata, “Haih, seharusnya kau bersyukur sudah mendapat peluang emas seperti ini. Ini tidak, kekal saja beremosi setiap hari.” Memang tidak dinafikan banyak ilmu dan pengajaran yang dapat diserap dengan menelaah di negara orang. Namun, sukar juga jika di penghujung setiap hari, pada hari-hari di mana hati ini terasa berat, tiada tangan yang mendepa untuk memeluk tubuh ini. Hari-hari berputar seperti roda yang tak berkesudahan, dan perasaan kekosongan semakin meluas di setiap sudut hati yang sunyi. Kekosongan hati yang ibarat lohong hitam, terus menghimpit, menarik perasaan cemas dan kesepian semakin dekat dan rapat sehingga akhirnya menelan kewarasan dan ketenangan diri ini.

Bukan itu sahaja, pelajaran di universiti, tuntutan yang semakin hari semakin berat, juga bukan lagi tantangan yang dapat diatasi dengan mudah. Dahulu, sewaktu pertama kali menjejak kaki di bumi Perancis ini, semangat yang membara untuk membanggakan keluarga dan diri sendiri kekal tersemat di hati. Kini, setiap hari aku mencari cebisan-cebisan nukilan hati insan yang dulunya mampu bermain bersama bintang-bintang Bimasakti. Setiap huruf terlihat seperti bentuk-bentuk yang tidak dapat difahami. Setiap tugasan terasa seperti gunung yang sukar didaki. Setiap ujian memperlihatkan bayang-bayang kegagalan yang semakin menghantui. Satu detik rasanya menyusuri lorong-lorong fikiran yang penuh kebimbangan dan kesempitan minda ini, sehingga akhirnya aku terjerlus ke dalam pasir masa, ketandusan motivasi.

Lewat malam, aku sering duduk terpangku di tepi jendela, memandang ke langit yang gelap. Bintang-bintang di sana menyorot kekosongan dalam diri, mengingatkan betapa sunyi dan kecilnya aku di dunia yang begitu besar. Ditemani suara-suara yang kian membingit, aku terbayang kehidupan rakan-rakan karibku di tanah air. Adakah aku masih menetap di dalam ruang kepala mereka? Atau aku hanya selingan dalam kisah hidup mereka yang jauh lebih berwarna-warni daripada hidupku? Aku menatap jam di tanganku sambil mengira-ngira perbezaan masa antara sini dan sana. Di sana sekarang sudah jam 10 pagi, tetapi telefon bimbit ku kelam sunyi. Berteriak hati ini mengharapkan biarpun walaupun seorang daripada rakan-rakanku menghantar kiriman kepadaku, bertanya khabarku, meluahkan rasa rindu mereka kepadaku. Kuat sungguh perasaan ini untuk bercerita kepada mereka tentang keperitan yang aku lalui setiap malam, dalam pergelutan antara hidup dan mati. Namun hanya kesunyian yang ku terima. Janji-janji manis untuk kekal berhubung tampaknya telah lapuk hilang dek ditelan masa. Entah kemanakah hilangnya bait-bait lagu yang dahulu kala dinyanyikan sewaktu suria muncul di pagi hari, mungkin sudah lama terbang laksana burung yang tidak lagi terikat di tali cinta. Tanpa kawan rapat yang mampu menolong aku untuk menzahirkan emosiku, aku terapung dalam lautan kesunyian, melompat-lompat antara kenangan masa lalu dan ketakutan masa depan.

Walaupun Matahari belum lagi menyapa, namun zahir dan batinku sudah pun terasa letih mengabaikan permintaan suara-suara itu. Ibarat orkestra tanpa konduktor untuk menyatukan alat-alat muzik, bunyi-bunyi kacau dalam otakku mengisi setiap pelosok ruang fikiranku. Ibarat bertempur di dalam gelanggang gladiator, aku hanya mampu cuba untuk bertahan sehingga Matahari terbit untuk mengusap ubun-ubun rambutku. Waktu bergulir, dan rasa takut akan suara-suara yang merayap dengan rakus tanpa henti, rasa takut kira-kiranya aku gagal untuk melihat betapa birunya langit buat kali yang terakhir semakin menelan diri.

Akhirnya, setelah menanti ribuan tahun dan ratusan bulan, muncul jua sinar harapan yang meneroka setiap ruang bilikku, melahap habis segala kehingaran suara yang menghantui. Batas antara kenyataan dan khayalan yang sebelumnya pudar kian jelas terpampang di depan mataku. Masih ada harapan, biarpun sekecil hati kuman yang dibelah tujuh, untuk aku meneruskan kehidupan yang kelihatan kelam ini. Harapan kecil yang mampu memancarkan cahaya dalam kegelapan yang menakutkan ini. Aku teraba-raba mencari jalan keluar, telingaku terpasang supaya aku dapat mendengar melodi yang mengalun merdu di sebalik bingit orkestra kacau ini, sehingga akhirnya aku tiba kembali di alam realiti, sehingga akhirnya aku kembali terbaring di atas katilku, diselubungi selimut yang membekalkan kehangatan sewaktu suhu menjunam ke negatif.

Aku menghela nafas panjang dua tiga kali untuk cuba menenangkan diri yang telah sebelumnya menelusuri jalan yang berliku. Hiba memenuhi hatiku. Ya, memang aku telah berjaya keluar dari labirin kelam beku kelmarin, tapi tidak semestinya esok lusa aku bakal bertuah menghadapi nasib yang sama lagi. Gusar hatiku, risau sekiranya esok aku tidak mampu bertahan hingga akhirnya aku tertunduk mengalah kepada suara-suara yang semakin bermaharajalela di kepalaku. Fikiranku mula runsing sekali lagi, adakah benar aku ini sudah tidak siuman? ‘Majnun,’ suara itu, walaupun tidak kedengaran selantang sebelum ini, masih kekal bergema dalam ruang kepalaku.

Letih tubuhku ini menghadap kegilaan yang terpaksa aku redah sebaik sahaja Matahari melambai dan berlalu pergi. Keletihan itu mula meresap hingga ke tulang dan sumsum, membuatkan hari-hari terasa semakin lama dan terbentang. Ayat-ayat yang diperkatakan oleh masyarakat di sini yang sememangnya sudah asing kepada diriku kian hari semakin hilang logik akalnya. Mungkin kerana perasaan letih aku ini yang terlalu mengaburi otakku, mendampingi suara-suara yang masih berbunyi di dalam mindaku, yang membuatkan aku tidak faham. Oleh itu, aku cuba menyembunyikan rasa letih ini dengan bermonolog agar diri ini tidak terasa sunyi, tetapi bukankah berbicara dengan diri sendiri itu sememangnya perbuatan orang kurang siuman? Jadi, apa yang patut aku buat untuk membanteras kesunyian diri ini? Kerana seikhlasnya dalam keadaan sunyi, perasaan letih itu sahajalah yang menjadi teman yang tidak diundang, mendekam dalam setiap jengkal ruang hati.

Pandangan mataku beralih ke luar jendela, mencari ketenangan di langit yang mula membiru. Indah sekali ciptaan Tuhan, begitu teliti dalam memastikan angkasa kekal sempurna setelah diselubungi kegelapan malam. Mungkin ini harapan yang harus aku pegang. Kegelapan dalam hati yang masih bersemayam, yang kelihatan bertahan teguh tidak akan kekal lama, kerana kelak cahaya mentari bakal menerpa. ‘Majnun,’ aku kata kepada diriku, menggambarkan diriku sebagai pengembara yang hilang akal. Pengembara yang tersungkur ke dalam lubang kegelapan yang sejuk dalam perjalanan ke arah kebahagiaan dan kegembiraan. Tetapi di dalam keheningan ini, aku tidak akan berputus asa mencari serpihan diri yang dulu kukenali, menunggu sinar yang mungkin memancari gelapnya lorong-lorong jiwa, menanti tangan yang mampu menarik aku keluar dari lubang ini. Aku masih berpegang pada harapan, bahawa suatu hari nanti, aku akan menemukan kembali kesucian dalam perjalanan gelap ini, menjadi lebih kuat dan bijak dari perjalanan yang meragam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.