Skip to content

Sebatang Pensel: The Untold Tale

Facebook
Twitter
Email
LinkedIn

AMARAN: cerita ini bukan for the faint-hearted. Anda bakal menyeberangi lautan euforia, menerokai rimba kemurungan, dan tersesat di gurun keberangan.

So, dimana harus kita bermula? Mungkin lebih mudah untuk korang faham kalau aku mulakan dari akar hidupku. Siapakah aku, korang tertanya-tanya. Aku hanyalah sebatang pensel.

Berdasarkan cerpen-cerpen yang mencoretkan kisah hidup batang-batang lain, aku menjalani hidup yang berbeza. Iye, yang aku maksudkan ialah penulisan oleh budak-budak yang masih kekurangan pengalaman untuk membezakan keinginan melepaskan angin dan keinginan membuang nutella-nutella keras lagi berbau. Pengumuman perkhidmatan awam: janganlah termakan dengan penulisan orang yang tiada kredibiliti. Pensel-pensel dalam cerpen tu langsung tak mencerminkan gaya hidup pensel di abad ke-21.

Jadi, macam mana kisah pensel sebenar? Ha.

Kisah Najmi: Si Palat Dorm Merah

Permulaan typical bagi setiap pensel, aku ditemukan dengan Najmi, 13 tahun, untuk merasmikan hari pertamanya di asrama. Tidak pernah ku lihat mana-mana budak yang sebegitu teruja untuk memulakan alam persekolahan, bahkan ini bakal menjadi pengalaman yang baru untuk Najmi. 

Bayangkan, seorang budak bongsu yang sering dimanjakan oleh keempat-empat kakak-kakaknya dan masih bermalaman sebilik dengan kedua-dua ibu bapanya akan berpisah buat kali pertama. Namun, Najmi kekal bersemangat dan berfikiran positif.

Najmi harap Najmi jadi budak Gryffindor, ujar Najmi sambil mendakap hangat ibunya yang sedang bersedu-sedan bertangisan.

Ya, hajat Najmi termakbul apabila dia dimasukkan dalam dorm merah. Seperti imaginasinya, ahli-ahli dorm (both seniors dan batchmate) semua kelihatan penuh dengan integriti dan keberanian, nilai-nilai yang sering dikaitkan dengan Gryffindor. Malangnya, Najmi tidak tahu. Malam itulah malam yang aku sentiasa berdoa agar tuhan putarkan balik masa. Supaya aku bisa memberi amaran kepada Najmi. Tapi apakan daya, aku hanyalah satu batang pensel yang hanya mampu menyaksikan segala yang bakal terjadi dari satu lubang zip kotak pensel.

Ok form 1, roll call! Kumpul dekat tengah dorm sekarang. Cepat cepat!

Antara rutin-rutin asrama yang takkan aku dapat fahami. Disebelah ku ialah jadual tentatif bulan orientasi tapi tidak ada satu pun tertulis ‘roll call’ di awal pagi buta. Berselubungkan kain pelikat dan mata sayu lagi kengantukan, Najmi dan pelajar-pelajar baru lain lekas berpusu-pusu kumpul di halaman dorm.

Program malam tersebut bermula dengan acara paling hangat – seorang pelajar tingkatan dua ditolak ke tengah halaman sambil dikerumuni pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima. Satu das tumbukan di dada dan satu sepakan deras ke betis cukup untuk jatuhkan budak itu ke atas lantai, namun tidak cukup untuk memuaskan nafsu keganasan yang membuak-buak. Kepala si mangsa terus dipijak berkali-kali di sisi longkang. Di balkoni dorm, kelihatan beberapa pelajar lain terbahak-bahak ketawakan si mangsa sambil menghembuskan asap rokok.

Dari lubang zip kotak pensel itu, aku terdengar perbualan-perbualan di latar belakang. Keganasan malam itu dilaksanakan atas sebab si mangsa kantoi menyembunyikan identiti kakaknya yang dikatakan ‘comel’ dan ‘seksi’. Kalaulah aku sebilah parang instead of sebatang pensel, akan ku potong kemaluan mereka yang berotakkan haiwan gila nafsu.

Aku masih ingat lagi raut wajah Najmi yang ketakutan, aku boleh baca apa di fikiranya, apa seorang Griffindor akan buat dalam situasi sebegini. Dan Najmi pun bersuara, menengking para senior dengan harapan untuk kick them into sense dan menghentikan segala yang mereka sedang lakukan.

Geram dengan Najmi, seorang pelajar tingkatan lima yang seakan-akan mengetuai aktiviti malam itu mengarahkan semua pelajar tingkatan satu termasuk Najmi untuk menurunkan pinggul mereka dalam kedudukan kekuda dan kekal dalam posisi itu selama satu jam. Untuk pelajar berumur 13 tahun, bulu kaki Najmi agak lebat dan malangnya, kelebatan itu menarik perhatian perpetrators tadi untuk menyalakan pemetik api dan bakarkan bulu kakinya. 

Keberanian yang Najmi tunjukkan sebentar tadi sudah tertanam dan tersorok jauh dalam sanubari, bimbang dirinya menerima nasib yang sama seperti si mangsa. Malam itu berakhir apabila kedengaran bunyi motorsikal lalu, barangkali itu adalah bunyi motor warden. Aku bersyukur Najmi tidak diapa-apakan.

Keesokan harinya, Najmi mulakan hari persekolah di dalam pejabat hal ehwal pelajar (HEP), melaporkan segala peristiwa-peristiwa malam semalam tanpa sebarang butiran tertinggal. Aku kehairanan, Najmi pun sama, sebab seminggu kemudian, beberapa pelajar digantung sekolah. Tapi bukan kerana mereka memukul seorang pelajar ataupun men-ragging pelajar baru, tapi kerana mereka menyedulup rokok ke dalam sempadan sekolah. Lagi aku hairan, HEP itu mempunyai seulas bibir seringan pelapah burung. Mudah saja dia lepaskan nama Najmi sebagai pelapor tanpa mengambil kira the consequences.

Sejak hari itu, Najmi digelar Palat – bererti najis pada kemaluan lelaki. Tiada seorang mahu berkawan dengan Najmi kerana takut menerima tempias. Setiap hari, Najmi akan terlepas sesi makan tengahari kerana senior-senior mengarahkan dia untuk mengangkut bakul baju dari dobi ke dorm mereka. Setiap kali orang bertembung arah dengan Najmi, mereka menutup hidung dan memanggil dia palat. Setiap malam, senior-senior menumbuk pelajar lain depan Najmi dan berkata ini nasib yang bakal Najmi terima.

Mereka tidak berani memukul Najmi, kerana mereka tahu Najmi berupaya untuk melapor, tapi mereka sentiasa bermain dengan minda Najmi. Perlahan-lahan, mereka merobohkan harga diri Najmi seperti burung nasar kelaparan. Pihak sekolah tidak melakukan apa-apa, kerana bagi mereka, adat membuli adalah satu keperluan di asrama untuk mendisiplinkan budak-budak dan menguatkan mental fortitude mereka.

Malah, ada satu ketika, si HEP pun pernah memukul seorang budak yang kantoi menyembunyikan sekotak rokok dalam al-Quran. Iye, budak tu hollowed-kan the pages of kitab suci untuk sembunyikan kotak rokok. Memang wajar dikenakan tindakan, tetapi solusi HEP itulah menjadi panduan pelajar-pelajar untuk mendisiplinkan junior-junior. Dari mana datangnya keinginan mereka untuk melentur buluh pun kita tidak tahu. Tapi satu benda yang aku pasti, Najmi bernekad untuk mengubah nasibnya. Dia sudah penat bersendirian dan tidak mahu kekalkan hidup sebegitu untuk empat tahun yang akan datang.

Najmi buntu, tidak tahu apa yang patut dia lakukan untuk melucutkan gelaran palat. Tapi apa yang Najmi perhati, pelajar-pelajar ‘cool’ mempunyai satu persamaan… sukan ragbi. Maka, bermulalah langkah pertama Najmi. Dia mula menghadiri sesi-sesi latihan ragbi pada waktu petang. Senior-senior gembira dengan kehadiran dia, tapi untuk sebab yang Najmi tidak pernah jangkakan. Latihan tersebut menjadi arena keganasan fizikal yang tersasar hanya kepada Najmi, namun keinginan untuk mengubah nasibnya lagi tinggi daripada segala kesakitan dan lebam-lebam di badannya.

Langkah kedua, Najmi sedar bahawa rokok menyatukan pelajar-pelajar yang Najmi sangkakan hebat dan bergaya. Bermulalah operasi Najmi sebagai pengedar rokok. Satu kotak rokok Pine (20 batang) hanyalah dua ringgit pada masa itu, dan Najmi menjual sebatang 50 sen. Iye, modus operandi yang lumayan. Malangnya, Najmi terus jatuh jauh kedalam gaung yang gelap. Dia terpengaruh dengan hasutan orang untuk menghisap rokok dengan alasan akan mempercepatkan asimilasi Najmi dengan para senior. Maka langkah ketiga Najmi adalah untuk menggantikan aku yang biasanya terselit di belakang telinganya dengan sebatang rokok.

Saban hari, aku menyaksikan Najmi terdesak mendapat pengesahan dan validation daripada senior-senior, saban hari aku melihat seorang insan suci semakin sosot ke jalan yang salah. Namun, pada perspektif Najmi, dia sedang berjalan di laluan yang patut dia ambil sejak hari pertama persekolahannya. Pelajar-pelajar lain pun mula berhenti membuli Najmi, samada kerana strategi Najmi berjaya ataupun mereka sudah bosan, aku tidak tahu dan aku tidak pasti. Aku kan hanyalah sebatang pensel.

Dua tahun kemudian, Najmi sudah menjadi seorang senior dan di sekeliling pinggangnya ialah pelajar-pelajar yang kerap membuli dan mencuri. Najmi pula menjadi notorious dikalangan junior sebagai seseorang yang ganas dan menyeramkan. Inilah realiti yang Najmi sekarang lalui, earning respect through instilling unnecessary fear towards others. Apakah itu kehormatan kalau orang melarikan diri darimu wahai Najmi. Mereka takut dengan kau dan mencaci kau, kau pun tahu kan Najmi? Sekarang, ‘rakan-rakan’ kau pun sudah mula terlibat dengan aktiviti-aktiviti seksual yang tidak terkawal, adakah kau akan turut terlibat juga?

Aku tidak mampu lagi menyaksikan kemunduran kau Najmi. Aku juga tidak mahu berada disitu lagi seperti ketika kau ditahan pihak polis dan ketika ibu kau menangis merayu-rayu agar pengetua sekolah tidak membuang kau dari sekolah.

Bila kau serahkan aku kepada Anna, aku bersyukur yang kita akan berpisah. Tapi aku juga tidak pasti jika hidupku dengan Anna adalah lebih baik. Mungkin cerita Anna aku ku kuburkan selama-lamanya dalam ingatanku, mungkin aku akan ceritakan sepertimana aku menghuraikan satu persatu benang hidup Najmi.

Jika kamu, wahai pembaca, berjaya sampai ke sini, saya mengucapkan terima kasih. Jika anda mahu saya mengulas kisah Anna, sila comment Done with Najmi, Anna is next pada post Instagram MASAF.

TAMAT